Thursday, February 28, 2008

Bangkok pusat kesenian Thailand

PELUANG mengikuti siri pengembaraan berkonsepkan visual escape selama empat hari tiga malam dengan tujuan menjejak seni dan budaya tradisi di Bangkok, Thailand bersama rombongan pemenang program Apostrophe DiGi baru-baru ini dipenuhi kejutan yang menyeronokkan. Kejutan pertama diterima saat dibawa ke tempat penginapan, Reflection, Rooms in Bangkok sekali gus membuka mata betapa seni itu indah dan boleh dipersembahkan dalam pelbagai cara misalnya tata hias kediaman.
Terletak jauh dari hiruk pikuk kota Bangkok, konsep yang diketengahkan pemilik hotel itu sememangnya lain daripada yang lain dan sungguh unik kerana setiap bilik dihias indah dengan tema berbeza bersesuaian dengan perasaan pengunjung antaranya Listen, Art Deco, I Love Photo, Hong Kong Pat dan Grey Day. Puas menjelajah ke setiap bilik, kami memulakan hari pertama di sana dengan melawat sebuah bangunan ekslusif tiga tingkat dinamakan The Playground yang menjadi pusat komersil untuk pereka, artis dan menyaksikan pameran seni. Puas menjelajah segenap ruang, kami dibawa pula ke Thai Creative and Design Centre (TCDC) yang terletak di tingkat atas The Emporium, sebuah pusat membeli belah mewah di tengah kota Bangkok.
Berbeza dengan negara kita, pusat membeli belah pastinya menempatkan pusat hiburan. Bagaimanapun, di TCDC yang menjadi pusat penyelidikan dan ruang berdiskusi antara pelajar seni tidak sepi dengan kunjungan insan yang tahu menghargai seni. Bersebelahan TCDC pula terletak galeri seni yang mempamerkan hasil rekaan ekslusif Puteri Raja Thai, Puteri Sirivannavari Nariratana. Puteri Siam berusia 20 tahun ini adalah pelajar seni yang sedang meneroka dilema hidup sebagai kerabat diraja era moden dan meluahkan rasa melalui rekaan fesyen penuh versatil namun tetap berpegang kejap pada tradisi Thai. Hati berbisik, bertuahnya badan. Mempunyai kedudukan sebagai puteri dan gadis manis itu juga jelita dan sangat kreatif. Betullah kata orang, insan yang diberikan ketajaman minda dalam melahirkan idea kreatif sememangnya amat bertuah. Tuah itulah yang menyebelahi nasib enam pemenang utama pertandingan merekacipta poskad bertemakan '1.30 pm' melalui program Apostrophe itu.
Mereka ialah Syarifah Radziah Syed Khairuddin, 31; Charis Loke En-Ping, 16; Grace Tham Hui Yee, 22; Foo Wei Meng, 31; Tee Huey Shan, 22, dan Temme Lee Wei Wei, 21, diiringi pemenang dalam senarai 12 peserta akhir iaitu Benjamin Moh Heng Sik, Chai Choon How dan Lee Ling Ling. Bagaimanapun, dua pemenang iaitu Grace dan Temme tidak dapat ikut serta kerana kekangan tugas. Turut mengiringi rombongan adalah tulang belakang Apostrophe iaitu Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DiGI, Saffura Chinniah dan beberapa media tempatan. Saffura berkata, Apostrophe diwujudkan sebagai platform bagi menggalakkan kelahiran karya dan idea berdasarkan ekspresi insan seni. Ia juga diharap menjadi pusat yang menghubungkan komuniti seni meneroka, mencipta dan berkongsi kreativiti melalui aktiviti yang dijalankan bersama. "Platform ini umpama sokongan kami kepada golongan muda di negara ini untuk lebih mengenali seni selain berpeluang berkomunikasi dengan artis tempatan dan luar negara yang singgah ke laman web Apostrophe. "Tahun ini kami rancang untuk mempelbagaikan aktiviti antaranya mencabar pemikiran mereka melalui pertandingan mencipta filem pendek, Short Short Story," katanya. Beliau turut menggambarkan rancangan syarikat komunikasi DiGi pada masa depan untuk memiliki sebuah galeri khusus bagi menempatkan karya yang dihasilkan komuniti Apostrophe. Berakhir hari pertama, kami meneruskan pengembaraan di kota Bangkok dengan semangat berkobar-kobar untuk terus menyusuri di mana akar budaya dan warisan negara gajah putih itu bermula. Pastinya melalui seni bina wat atau candi lama yang dibina sepanjang lembangan Sungai Chao Phraya. Kagum melihat betapa halusnya kerja tangan rakyat Thai membuatkan ramai yang terpegun. Pilihan DiGi membawa rombongan ke Wat Po dan Istana Raja Siam, Grand Palace sungguh bijak. Di sini, ukiran tradisi bersepuh emas dengan lakaran lukisan penuh cerita memenuhi dinding sehingga ke bumbung menjadi lambang kegigihan dan kesetiaan rakyat negara itu pada pemerintah dan agamanya.
KOMEN:
Negara Thailand memang terkenal dengan tempat peranginan yang cantik. ini kerana negara tersebut mempunyai banyak tempat yang menarik yang menjadi pilihan utama pelancong asing yang datang dari Benua Eropah semata-mata untuk melancong ke Negara Gajah Putih tersebut.
sebagai contoh program syarikat telekomunikasi Digi telah membawa pemenang program Apostrophe dan berjaya dedahkan peserta dengan budaya dan warisan negara gajah putih tersebut. ini adalah kerana Thailand kaya dengan tempat yang menarik yang menjadi pilihan utama Digi tersebut.