Monday, March 24, 2008

pokok Bakau

Hutan bakau atau disebut juga hutan mangrove adalah hutan yang tumbuh di atas rawa-rawa berair payau yang terletak pada garis pantai dan dipengaruhi oleh pasang-surut air laut. Hutan ini tumbuh khususnya di tempat-tempat di mana terjadi pelumpuran dan akumulasi bahan organik. Baik di teluk-teluk yang terlindung dari gempuran ombak, maupun di sekitar muara sungai di mana air melambat dan mengendapkan lumpur yang dibawanya dari hulu.
Ekosistem hutan bakau bersifat khas, baik karena adanya pelumpuran tadi --yang mengakibatkan kurangnya aerasi tanah; salinitas tanahnya yang tinggi; serta mengalami daur penggenangan oleh pasang-surut air laut. Hanya sedikit jenis tumbuhan yang bertahan hidup di tempat semacam ini, dan jenis-jenis ini kebanyakan bersifat khas hutan bakau karena telah melewati proses adaptasi dan evolusi.



Masalah hutan bakau


Hutan bakau tidak tahan dengan tahap gangguan yang tinggi dan amat sensitif terhadap :
penukaran tanah
penebangan hutan
penebusgunaan
pencemaran.
Banyak kawasan bakau ditebang untuk memberi laluan kepada kegiatan :
akuakultur
ternakan ikan dalam sangkar
kolam ternakan udang dan ikan air masin
Zon perindustrian yang berdekatan dengan pelabuhan
Pembinaan kawasan pangkalan nelayan
Pelabuhan dan tapak gudang kontena-kontena
Perbandaran dan perkampungan nelayan poinggir pantai.
Tempat pembuagan sisa cecair ole kapal dagangan dan bot nelayan.
Ekosistem yang mudah terjejas (sensitif) ini perlu dipulihara sebagai simpanan alam semula jadi atau taman alam. Banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam dan menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri kita untuk memulihara warisan bakau semula jadi yang menyimpan sebahagian daripada flora dan fauna dunia yang terancam.
Pelbagai keadaan yang tidak menyenangkan wujud di dalam dan di sekitar hutan bakau. Namun begitu ia juga merupakan ekosistem tanah bencah yang paling produktif. Tahap kemasinan yang tinggi, kandungan oksigen yang rendah di dalam air dan tanah, keadaan tanah yang tidak stabil dan tidak berupaya menyokong pokok-pokok besar adalah di antara beberapa aspek persekitaran ini.
Walau bagaimanapun, tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang mendiami kawasan bakau telah menyesuaikan diri dengan persekitaran sebegini dengan membentuk beberapa ciri penyesuaian yang istimewa.
Tumbuh-tumbuhan bakau mengatasi kandungan oksigen yang rendah dengan akar udara khas yang dikenali sebagai ‘pneumatofor’ iaitu akar yang tumbuh secara menegak daripada permukaan tanah untuk mendapatkan oksigen.
Kawasan bakau mempunyai tanah lembut yang seakan-akan tanah liat dan tumbuh-tumbuhan bakau dapat tumbuh dengan tegap dengan menggunakan akar banir dan akar sokong.
Tanah yang berkelodak dan perubahan pasang surut (air pasang surut) tidak sesuai bagi perkembangan anak pokok bakau. Untuk mengatasi masalah ini, tumbuh-tumbuhan bakau mempunyai kaedah percambahan biji benih yang unik yangdikenali sebagai ‘vivipariti’.Tumbuh-tumbuhan vivi parus mempunyai biji benih yang boleh membesar dan mengeluarkan akar dan pucuk muda semasa ia masih lagi berada bersama pokok induk. Anak benih ini kemudiannya akan jatuh daripada induknya dan tertanam di dalam tanah. Ia akan terus membesar atau kekal dorman sehinggalah dihanyutkan arus ke tempat yang lebih sesuai untuk membesar.






















Wednesday, March 12, 2008

Dua lagi maut demam denggi

KUALA LUMPUR: Dua lagi kes kematian akibat demam denggi dilaporkan sepanjang minggu lalu dalam tempoh antara 2 hingga 8 Mac lalu menjadikan jumlah kematian meningkat kepada lima kes setakat ini.Korban pertama dilaporkan sepanjang tempoh 13 hingga 19 Januari, manakala sepanjang tempoh 10 hingga 16 Februari dua kematian dilaporkan. Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata jumlah kes dilaporkan sepanjang tempoh 2 hingga 8 Mac lalu mencatatkan penurunan kepada 705 kes berbanding 814 kes pada minggu sebelumnya, tapi tidak menepati sasaran, iaitu 695 kes“Walaupun jumlah itu menunjukkan penurunan 14 peratus berbanding minggu sebelumnya, namun ia masih tinggi daripada sasaran diteMenurutnya, Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peningkatan kes demam denggi tertinggi iaitu dengan 100 peratus, diikuti Selangor (69 peratus), Terengganu (57 peratus), Sarawak (17 peratus), Melaka (18 peratus) dan Perak (dua peratus).
“Jumlah kes daripada keenam negeri ini menyumbang kepada 66 peratus, iaitu 466 kes daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.Hasan berkata, hasil pemantauan pejabat kesihatan daerah mendapati kadar pembiakan nyamuk aedes masih tinggi di rumah dan kedai dengan 239 premis didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk.tapkan,” katanya.

Sindiket palsu dokumen tumpas

KUALA LUMPUR 12 Mac - Satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen yang didalangi warga asing ditumpaskan hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md. Yassin berkata, dalam serbuan pukul 10 malam itu polis merampas beberapa peralatan termasuk mesin pencetak yang digunakan untuk mencetak serta memalsukan dokumen.
Beliau menegaskan peralatan itu dipercayai digunakan untuk membuat dokumen antaranya MyKad bermutu tinggi, kad visa, lesen memandu antarabangsa dan sijil pernikahan sebuah negara Asia Selatan.
"Kegiatan sindiket ini terbongkar apabila tertangkapnya seorang suspek lelaki warga asing berusia 28 tahun di sebuah rumah teres di Setapak Jaya, di sini kelmarin.
"Polis turut menemui lima pasport palsu di rumah tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Sofian menambah, kejayaan menumpaskan sindiket itu adalah hasil operasi khas yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Beliau berkata, suspek itu ditahan reman sehingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 51 (5) (B) Akta Imigresen (Pindaan) 2002.
Menurutnya, polis kini sedang memburu dalang utama sindiket itu yang dikenali sebagai Nadeem, 36 tahun.
Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan sindiket yang beroperasi sejak dua tahun itu mempunyai rangkaian dengan kedutaan negara asal suspek.
"Tetapi sindiket ini menggunakan pos laju untuk urusan penghantaran serta penerimaan dokumen dan mereka dipercayai bergiat aktif di seluruh negara," jelasnya.
Beliau berkata, MyKad, kad visa dan surat nikah sebuah negara di Asia Selatan ditawarkan dengan harga RM50 sekeping manakala lesen memandu antarabangsa pula RM80.

Seksa 7 jam

KUALA LUMPUR: Sengsara dalam gelap. Itulah yang dihadapi seorang pemandu teksi yang diikat pada sebatang pokok dan dibiarkan menjadi ‘habuan’ nyamuk serta semut selama tujuh jam dalam kebun getah di Kuang, Sungai Buloh, dekat sini, malam kelmarin.Lelaki berusia 37 tahun itu yang menghidap penyakit kencing manis dibiarkan tanpa baju dengan mulutnya ditampal pita pelekat oleh penjenayah yang menyamunnya.Lebih menyedihkan, mangsa tidak dapat membuang air kecil secara normal, sebaliknya terpaksa menggunakan kantung khas. Pemandu teksi berkenaan terlepas daripada seksa terbabit apabila diselamatkan sepasukan polis, tujuh jam kemudian.
Mangsa dikenali sebagai Zee, berkata dalam kejadian jam 9 malam, tiga lelaki menahan teksinya di Sungai Mas, Jalan Ipoh dan meminta dihantar ke Rawang.
“Saya terus membawa mereka ke destinasi diminta tanpa mengesyaki sesuatu yang buruk. “Apabila tiba di kawasan kebun getah di Rawang, seorang lelaki mengeluarkan parang dan mengugut saya supaya menyerahkan barang berharga,” katanya di sini, semalam.Dia berkata, lelaki itu terus mengikat tangan serta menutup mulutnya dengan pita pelekat sebelum diikat pada sebatang pokok getah, manakala teksinya dilarikan.Dia cuba melepaskan diri dan menjerit meminta tolong, namun gagal hingga diselamatkan sepasukan polis kira-kira jam 4 pagi.Penemuan pemandu teksi itu bermula selepas polis memberkas tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan samun teksi di Taman Sri Kuching, di sini, kira-kira jam 10.45 malam.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md Yassin, berkata sebuah kereta peronda polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah teksi.“Polis kemudian menghampiri kumpulan lelaki terbabit untuk melakukan pemeriksaan.“Mereka bagaimanapun melarikan diri dengan masuk ke dalam teksi dan memecut laju,” katanya kepada wartawan di sini, semalam.Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul, Deputi Superintendan Ng Lean Seong. Beliau berkata, polis mengejar suspek sejauh beberapa kilometer sebelum berjaya memberkas mereka di Bukit Tunku.Soal siasat ke atas suspek mendapati mereka terbabit dalam kejadian menyamun teksi.“Mereka membawa polis ke dalam hutan di Kuang, Sungai Buloh tempat mereka mengikat seorang pemandu teksi.“Lelaki terbabit diikat di kaki dan tangan manakala mulutnya ditutup dengan pita pelekat,” katanya.Ahmad Sofian berkata, siasatan mendapati suspek menyamar sebagai penumpang teksi dan meminta dihantar ke lokasi yang diminta.Katanya, penjenayah itu akan melakukan kegiatan samun menggunakan parang apabila mempunyai peluang.“Mereka turut mencederakan pemandu teksi yang melawan dan mangsa akan ditinggalkan di kawasan sunyi selepas barang berharga serta teksinya dilarikan.“Polis turut menemui sebuah lagi teksi di kawasan Pasar Borong Selayang yang disyaki disamun suspek terbabit,” katanya.Menurutnya, polis merampas satu topeng berwarna hitam dan sebilah parang.

Pelajar Melayu tunggal sekolah Cina dapat 11A

BUKIT MERTAJAM 12 Mac - Cabaran menjadi satu-satunya pelajar Melayu di kalangan 618 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah kebangsaan Cina tidak menghalang Abdul Basit Salim, (gambar) 18, untuk memperolehi 11 1A.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJK) Jit Sin di sini berkata, kelebihannya bertutur dalam bahasa Mandarin turut memecahkan tembok antara Melayu dan Cina.
"Kalau dulu memang sukar untuk bina hubungan persahabatan tetapi lama-kelamaan, saya semakin diterima di kalangan kawan-kawan malah berjaya membentuk satu kepercayaan antara mereka," katanya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.Tambahnya, walaupun mempelajari bahasa Mandarin sejak berusia enam tahun sehingga tamat persekolahan, ia bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan.''Kebanyakan orang berfikir saya belajar Mandarin sejak kecil jadi mudah apabila saya memasuki sekolah rendah atau menengah bila hendak berbual atau bergaul tetapi ia tidaklah semudah itu."Kadang-kadang saya masih lagi merasa kekok terutamanya bila melawat ke sekolah lain untuk perlawanan bola sepak," katanya.Ujar Abdul Basit, kesemua adik-adiknya dimasukkan ke sekolah Cina sejak tadika sehingga tamat sekolah.Abang sulungnya yang juga merupakan bekas pelajar sekolah yang sama, kini melanjutkan pelajaran di Perancis dalam bidang perakaunan di bawah biasiswa Petronas.''Mak dan abah pernah beritahu mereka masukkan kami adik-beradik ke sekolah Cina sebab antara banyak perkara yang mereka boleh bagi, mereka tidak dapat nak beri kami bahasa Mandarin dan ia hanya boleh dipelajari di sekolah," kata Abdul Basit.
Ketika ditanya mengenai jadual pembelajarannya, Abdul Basit memberitahu dia tidak mempunyai jadual khusus tetapi gemar mengulang kaji pelajaran sementara menunggu siaran langsung perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya, Real Madrid.
Selain itu, beliau turut membaca buku cerita atau novel bahasa Mandarin, menonton berita Warta Mandarin di samping mendengar lagu Cina.
Abdul Basit yang ingin melanjutkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di Jepun.
Sementara itu, seorang lagi pelajar sekolah terbabit tidak menjadikan kecacatannya sebagai penghalang memperoleh 12 1A dalam SPM yang lalu dan berkecimpung dalam sukan bola keranjang.Wong Kia Fu, 18, berkata, dia memakai kaki palsu di kaki kirinya sejak lahir kerana anggota badannya itu lebih pendek daripada kaki kanan.
Ujarnya, walaupun begitu dia tidak pernah merasakan dirinya cacat dan perlu menagih simpati dalam apa juga perkara yang dilakukan.

Peranan PBT memurnikan bahasa Melayu dituntut

TANPA bahasa, bangsa tidak mungkin dapat berkembang dan juga gagal menggambarkan identitinya secara keseluruhan dalam perhubungan dengan bangsa-bangsa lain.Akibatnya, bangsa itu akhirnya akan lenyap ditelan masa. Oleh itu, bahasa menunjukkan identiti bangsa dan ia juga dapat menunjukkan tinggi rendahnya kebudayaan sesebuah bangsa. Bahasa turut menggambarkan jauh mana kemajuan yang telah dicapai sesuatu kelompok tersebut.Sebagaimana dijelaskan oleh Ralp Fasold dalam bukunya, The Sociolinguistics of Society dan The Sociolinguistic of Language (1990), kelemahan bahasa juga akan melambangkan status sosial dan kekuatan identiti sesebuah bangsa.Begitu juga Frederick J. Newmeyer melalui tulisannya Language: The Sociocultural Context menganggap sesebuah bangsa yang gagal memperkasakan bahasanya bakal terjerumus ke dalam krisis sosiobudaya yang serius.
Newmeyer juga berpendapat, kekuatan bahasa merupakan sisi lain kepada citra khusus keunggulan peradaban, pemikiran dan perilaku sesebuah bangsa.
Namun dalam konteks bahasa Malaysia, persoalan klise masih wujud - fungsinya dalam banyak aspek tidak dititikberatkan terutama dalam bidang komunikasi, pengiklanan, penerbitan dan sebagainya.Secara formal, kini bahasa Malaysia mempunyai empat fungsi iaitu sebagai bahasa integrasi, bahasa kebangsaan, bahasa negara dan bahasa resmi.
Dalam perkembangannya lebih lanjut, bahasa Malaysia diletakkan sebagai bahasa budaya dan bahasa ilmu. Keenam-enam kedudukan ini mempunyai fungsi yang berbeza, walaupun dalam amalannya dapat saja muncul secara bersama-sama.Ironisnya hari ini, penggunaan bahasa Malaysia tidak banyak berubah. Masyarakat (tanpa mengira kaum) seolah-olah lebih senang berbahasa Inggeris selain bahasa ibunda. Malah, ada masyarakat Melayu yang berbahasa Inggeris!.Kesan daripada keadaan ini, masih banyak penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat, lemah dan bercampur-aduk dengan istilah-istilah bahasa asing serta gaya penuturan bahasa ibunda mengikut etnik.
Sektor pengiklanan (terutama penggunan papan tanda) masih memperlihatkan kelemahan yang cukup ketara walaupun kempen besar-besaran penggunaan bahasa Melayu yang tepat dalam sektor swasta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilaksanakan.
Ada papan tanda premis-premis perniagaan yang masih menggunakan gaya bahasa yang boleh menjejaskan imej bahasa Malaysia. Kesalahan yang dipaparkan cukup ketara. Namun, tidak ada sebarang tindakan atau teguran khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Oleh itu, siapa yang harus dipersalahkan dalam isu ini? Adakah para peniaga, DBP atau PBT yang `tidak peka’ terhadap kegagalan penggunaan bahasa Melayu yang baik di kawasan pentadbiran mereka?.Menurut pensyarah bahasa dan kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Lim Swee Tin, PBT perlu memantau dengan menyeluruh kesilapan-kesilapan tersebut.Katanya, tindakan akan diambil bergantung kepada peraturan dan bidang kuasa yang dimiliki oleh PBT. Ia sama ada arahan untuk mengganti atau memperbetulkan sebarang kesilapan yang ada.
“Ada dua isu dalam konteks ini. Ada penyelewengan dan kesalahan menterjemah. Penyelewengan bererti pihak PBT tidak membuat pemantauan yang meluas terhadap papan-papan tanda atau medium pengiklanan yang lain.“Kesalahan bahasa mungkin tidak dititikberatkan dan pada masa yang sama pemilik perniagaan menggunakan khidmat penterjemah yang menterjemah secara langsung sesuatu ayat. Di sinilah kesilapan berlaku,” katanya.
Swee Tin berkata, jika masalah dan isu penggunaan bahasa tersebut tidak diselesaikan secepat mungkin, bahasa Malaysia akan terjerumus ke dalam `tragedi’.
Ini kerana, jika gaya bahasa seperti itu terus digunakan, ia akan memberi impak kepada masyarakat terutama generasi baru termasuk kanak-kanak sekolah.
“Cuba bayangkan jika gaya bahasa yang salah itu dibaca oleh orang asing yang berada di negara ini atau setidak-tidaknya generasi muda yang terdiri daripada pelajar sekolah. Adakah ia baik dan sesuai?,” tambah beliau.Oleh itu, beliau berkata, PBT perlu memastikan setiap bahasa pada papan iklan perlu benar-benar tepat sebelum sesebuah permohonan perniagaan diluluskan.
Dalam pada itu, penulis, Uthaya Sankar SB pula berpendapat, penggunaan bahasa Malaysia yang salah di papan-papan tanda atau papan iklan sering dianggap sesuatu kecil.
Sedangkan, beliau berkata, bahasa Malaysia telah menjadi medium komunikasi dan bahasa rasmi negara ini dan diterima oleh masyarakat berbilang kaum.“Di sini kita menuntut peranan PBT untuk bertindak tegas terutama membuat semakan yang teliti ketika permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan oleh para peniaga.“Jangan terlalu bergantung kepada DBP untuk membuat semakan sebab membetulkan kesilapan bahasa merupakan tanggungjawab semua individu, kelompok dan institusi,’’ katanya.Sama seperti Swee Tin, Uthaya berpendapat, rakyat Malaysia sebagai pengguna bahasa itu seharusnya bangga menggunakannya sebagai alat komunikasi, perniagaan, integrasi dan keharmonian.Melalui bahasa Malaysia, mereka mampu menyampaikan perasaan dan fikirannya dengan sempurna dan lengkap kepada orang lain termasuk juga produk-produk perniagaan yang ditawarkan.

Thursday, March 6, 2008

Pentingnya pemimpin menjaga kesihatan

TUGAS seorang pemimpin itu tidak pernah selesai! Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk menjelaskan bagaimana seorang pemimpin, di mana sahaja mereka berada, perlu terus memikirkan cara untuk membantu, membangun dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Oleh kerana itu, sebarang masalah kesihatan yang timbul dalam hidup golongan pemimpin pasti mengganggu usaha mereka berbakti kepada rakyat.
Masalah kesihatan dihadapi oleh semua orang dan sebagai manusia biasa, pemimpin juga kadangkala jatuh sakit.
Namun, masalah yang dihadapi mereka bukan pada kemudahan rawatan tetapi lebih kepada tuntutan masa bertugas untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga mengganggu usaha mengamalkan gaya hidup sihat yang optimum.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan gaya hidup yang terpaksa dilalui golongan pemimpin adalah lebih berisiko berbanding rakyat biasa.
“Antara masalah utama bagi golongan pemimpin adalah pemakanan mereka yang sukar diatur berikutan banyak menghadiri aturcara di luar.
“Makanan yang dihidangkan di majlis-majlis berkenaan juga selalunya ‘sedap-sedap’ belaka tetapi ‘kaya’ dengan lemak, kolesterol dan gula.
“Jika tidak makan, ada pula pihak yang berkecil hati tetapi jika tersalah makan mungkin memudaratkan diri,” katanya.
Menurut beliau, selain majlis-majlis besar, golongan pemimpin juga didedahkan kepada banyak makanan dan minuman manis di pejabat, terutamanya ketika atau selepas bermesyuarat.
Pemimpin yang tidak mempunyai banyak masa lapang mungkin terpaksa menerima sahaja apa yang dihidangkan sehingga memudaratkan keadaan kesihatan jangka panjang mereka.
Manis tersembunyi
Dr. Ahmad Shukri mendedahkan kandungan gula badan boleh meningkat dengan mendadak jika seseorang mengambil makanan berasaskan kanji seperti nasi bersama air manis dan juga buah-buahan tertentu.
“Air yang manis sudah pasti akan meningkatkan kandungan gula di dalam darah tetapi nasi juga akan ditukarkan menjadi gula selepas dihadamkan dan diserap ke dalam darah.
“Buah-buahan juga boleh menjadi satu lagi sumber gula, seterusnya meningkatkan lagi kandungan gula di dalam darah,” ujarnya.
Dr. Ahmad Shukri seterusnya menekankan bahaya yang dihadapi dari peningkatan mendadak gula di dalam darah, terutamanya jika perlu menghadiri beberapa majlis serupa dalam satu hari.
Kandungan gula darah yang terlalu tinggi lebih berbahaya jika seseorang pemimpin itu menghidap penyakit kencing manis atau mempunyai sejarah keluarga (ibu, bapa, atau adik-beradik) yang menghidap kencing manis.
Bayangkan jika terpaksa pulang pada lewat malam akibat tugas dan majlis yang perlu dihadiri, sudah tentu badan sudah terlalu letih untuk bersenam.
Aktiviti sukan seperti berjoging mungkin dapat membantu menjaga tahap kesihatan badan dengan lebih baik tetapi perlu dilakukan dengan kadar tetap yang bersesuaian dengan pengambilan tenaga daripada makanan.
Dalam pada itu, golongan pemimpin juga menghadapi masalah mendapatkan rehat yang cukup terutamanya masa tidur ideal antara tujuh hingga lapan jam setiap malam.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, sistem imuniti badan boleh menjadi lemah jika seseorang tidak mendapat tidur dan rehat secukupnya setelah penat bekerja di siang hari.
“Ini akan mendedahkan diri kepada jangkitan kuman sehingga mudah demam atau selesema di samping peningkatan tekanan darah yang boleh meninggalkan kesan kepada jantung.
“Selain itu, mereka juga mungkin mengalami mental stres kerana otak tidak mendapat rehat secukupnya,” jelas beliau.
Katanya lagi, mental stres yang dihadapi golongan pemimpin mungkin ditambah akibat badan juga tidak cukup rehat, tuntutan tugas untuk menyelesaikan bermacam masalah dan memuaskan hati semua pihak.
Tambahnya, tabiat merokok juga akan meningkatkan lagi risiko yang dibawa faktor-faktor yang dinyatakan tadi dan mengancam kemampuan pemimpin berkhidmat akibat masalah kesihatan diri.
Kesan berpanjangan
Bagi jangka pendek, antara masalah yang utama adalah diabetes tak terkawal akibat pemakanan tidak teratur atau berlebihan.
Mereka yang menghidap diabetes boleh mengalami masalah kandungan gula di dalam darah terlalu tinggi yang menyebabkan rasa letih, lesu dan banyak membuang air kecil.
Jika tidak mendapatkan rawatan segera, keadaan ini boleh menyebabkan mereka koma.
Dr. Ahmad Shukri turut mengaitkan pemakanan dengan masalah sakit jantung dan strok yang bermula hanya dengan peningkatan tekanan darah.
“Mereka yang tidak mengambil ubat atau tidak cukup bekalan ubat untuk masalah darah tinggi turut menghadapi risiko sakit jantung dan strok.
“Pemakanan juga boleh menyebabkan penyakit gout akut di samping gastritis kerana tidak menjaga waktu makan akibat terlalu sibuk bekerja,” katanya.
Dari segi jangka panjang pula, Dr. Ahmad Shukri menekankan ancaman kencing manis terhadap mata, jantung, buah pinggang dan urat saraf.
Langkah kanan
Perkara pertama dalam menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan diri adalah mengetahui keadaan semasa kesihatan diri.
Dengan mengetahui keadaan semasa badan, lebih mudah untuk merancang keperluan untuk meningkat dan mengekalkan kesihatan badan pada tahap terbaik.
Dr. Ahmad Shukri menegaskan, perlunya semua individu, termasuk golongan pemimpin, mendapatkan pemeriksaan kesihatan, tidak kira betapa sibuk mereka dengan tugas masing- masing.
“Alasan sibuk tidak boleh diterima lagi jika melibatkan tahap kesihatan badan memandangkan prestasi kerja terbaik hanya boleh dicapai dengan badan yang sihat.
“Jika badan mula sakit, prestasi kerja pasti terjejas dan keadaan akan bertambah teruk jika mereka terus memaksa diri menjalankan tugas,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kesihatan golongan pemimpin amat penting kerana jika mereka jatuh sakit, bukan sahaja diri dan keluarga yang terjejas malahan rakyat yang bergantung kepada mereka juga akan menderita.
Pemeriksaan kesihatan penuh elok dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap kesihatan semasa badan.
Bagi mereka yang telah disahkan menghidap penyakit tertentu seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan diabetes pula, pemeriksaan berkala sekali setiap tiga atau empat bulan, atau mengikut arahan doktor perlu dijalankan.
Ini dapat membantu doktor memantau keadaan kesihatan diri pesakit di samping memastikan rawatan paling sesuai mengikut keperluan semasa penyakit yang dihadapi.
Dr. Ahmad Shukri juga menasihatkan pemilihan makanan yang bersesuaian jika menghadiri majlis tertentu bagi mengelakkan peningkatan mendadak paras gula di dalam darah.
“Elakkan mengambil air manis bersama nasi dan buah dalam satu hidangan dan rancang pengambilan gula serta lemak yang rendah jika perlu menghadiri beberapa majlis dalam masa satu hari.
Terbaik
“Air kosong atau air mineral adalah terbaik ketika mengambil makanan berat di samping pengambilan sayur-sayuran yang lebih banyak akan membantu menjaga kesihatan badan,” jelasnya.
Dr. Ahmad Shukri juga membangkitkan peranan pasangan hidup golongan pemimpin untuk menjaga pemakanan ketika di rumah.
“Rumah merupakan tempat paling sesuai untuk menjaga pemakanan dengan mengurangkan gula dan lemak dalam masakan.
“Membuat hidangan yang ringkas bukannya menunjukkan tanda tidak sayang tetapi sebaliknya menampilkan keprihatinan untuk menjaga kesihatan orang tersayang,” katanya.
Beliau mencadangkan masakan jenis stim atau panggang bersama lebih banyak sayur-sayuran untuk mengimbangi pemakanan yang banyak mengandungi lemak dan gula ketika bertugas di luar.
Selain menjaga pemakanan, rehat secukupnya juga amat diperlukan bagi membolehkan badan dan otak berfungsi pada tahap optimum setiap hari.
Memandangkan tuntutan masa ketika bertugas menyukarkan golongan pemimpin tidur secukupnya pada waktu malam, perlu diusahakan satu masa untuk mereka merehatkan diri seketika pada waktu siang.
Jika boleh, ‘curi’ sedikit masa untuk berehat atau tidur seketika bila ada kelapangan terutamanya jika sudah terlalu letih.
Rokok pula adalah musuh utama kesihatan badan dan seelok-eloknya dihindarkan kerana rasa segar seketika dari merokok tidak sepadan dengan kerosakan yang dilakukan asap rokok kepada struktur dalaman badan.
Suplemen juga boleh diambil untuk menambah tenaga badan tetapi perlu mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu bagi memastikan suplemen berkenaan tidak memburukkan lagi masalah kesihatan yang dihadapi.
Pilih hanya suplemen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dan jangan diambil secara berlebihan kerana terdapat bahan aktif di dalam suplemen yang mungkin memberi kesan kepada penyakit tertentu.
Semua orang boleh jatuh sakit tetapi gaya hidup golongan pemimpin yang menuntut komitmen tinggi memerlukan mereka lebih berjaga-jaga.
Dr. Ahmad Shukri menasihatkan mereka yang menghidap penyakit tertentu supaya memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi. “Dapatkan bekalan ubat sebelum ia habis dan jangan ditunggu sehingga sudah habis sepenuhnya.
“Hospital kerajaan di Malaysia kini mempunyai banyak kemudahan peralatan, kepakaran dan ubatan yang diperlukan untuk memeriksa dan merawat pelbagai jenis penyakit, setanding dengan di luar negara,” tegas beliau.
Menurut Dr. Ahmad Shukri lagi, seorang pemimpin bukan hanya bertanggungjawab menunaikan hak rakyat tetapi juga hak diri sendiri supaya berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Biar doktor berusaha menjaga kesihatan pemimpin di ketika mereka berusaha menjaga keperluan rakyat,” ujar beliau.

Komen:

Kesihatan merupakan nadi penting untuk kita terus hidup di dunia ini.kita hendaklah menjaga kesihatan walau apa cara sekalipun.kesihatan yang baik mempunyai tubuh badan yang sihat.
apabila tubuh kita sihat segala aktiviti harian kita baik dan tidak apa-apa masalah.segala gerak geri kita dalam seharian akan bertambah baik.kesihatan yang baik mempunyai akal yang sihat. akal yang sihat dapat berfikir dengan waras.di antara cara-cara untuk kita menjaga kesihatan ialah banyakkan senaman 3 kali seminggu walaupun banyak masa untuk kerja yang lain. kesihatan perlu dijaga walau dimana-mana kita berada.