TUGAS seorang pemimpin itu tidak pernah selesai! Mungkin itu ungkapan yang sesuai untuk menjelaskan bagaimana seorang pemimpin, di mana sahaja mereka berada, perlu terus memikirkan cara untuk membantu, membangun dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Oleh kerana itu, sebarang masalah kesihatan yang timbul dalam hidup golongan pemimpin pasti mengganggu usaha mereka berbakti kepada rakyat.
Masalah kesihatan dihadapi oleh semua orang dan sebagai manusia biasa, pemimpin juga kadangkala jatuh sakit.
Namun, masalah yang dihadapi mereka bukan pada kemudahan rawatan tetapi lebih kepada tuntutan masa bertugas untuk berkhidmat kepada rakyat sehingga mengganggu usaha mengamalkan gaya hidup sihat yang optimum.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh menjelaskan gaya hidup yang terpaksa dilalui golongan pemimpin adalah lebih berisiko berbanding rakyat biasa.
“Antara masalah utama bagi golongan pemimpin adalah pemakanan mereka yang sukar diatur berikutan banyak menghadiri aturcara di luar.
“Makanan yang dihidangkan di majlis-majlis berkenaan juga selalunya ‘sedap-sedap’ belaka tetapi ‘kaya’ dengan lemak, kolesterol dan gula.
“Jika tidak makan, ada pula pihak yang berkecil hati tetapi jika tersalah makan mungkin memudaratkan diri,” katanya.
Menurut beliau, selain majlis-majlis besar, golongan pemimpin juga didedahkan kepada banyak makanan dan minuman manis di pejabat, terutamanya ketika atau selepas bermesyuarat.
Pemimpin yang tidak mempunyai banyak masa lapang mungkin terpaksa menerima sahaja apa yang dihidangkan sehingga memudaratkan keadaan kesihatan jangka panjang mereka.
Manis tersembunyi
Dr. Ahmad Shukri mendedahkan kandungan gula badan boleh meningkat dengan mendadak jika seseorang mengambil makanan berasaskan kanji seperti nasi bersama air manis dan juga buah-buahan tertentu.
“Air yang manis sudah pasti akan meningkatkan kandungan gula di dalam darah tetapi nasi juga akan ditukarkan menjadi gula selepas dihadamkan dan diserap ke dalam darah.
“Buah-buahan juga boleh menjadi satu lagi sumber gula, seterusnya meningkatkan lagi kandungan gula di dalam darah,” ujarnya.
Dr. Ahmad Shukri seterusnya menekankan bahaya yang dihadapi dari peningkatan mendadak gula di dalam darah, terutamanya jika perlu menghadiri beberapa majlis serupa dalam satu hari.
Kandungan gula darah yang terlalu tinggi lebih berbahaya jika seseorang pemimpin itu menghidap penyakit kencing manis atau mempunyai sejarah keluarga (ibu, bapa, atau adik-beradik) yang menghidap kencing manis.
Bayangkan jika terpaksa pulang pada lewat malam akibat tugas dan majlis yang perlu dihadiri, sudah tentu badan sudah terlalu letih untuk bersenam.
Aktiviti sukan seperti berjoging mungkin dapat membantu menjaga tahap kesihatan badan dengan lebih baik tetapi perlu dilakukan dengan kadar tetap yang bersesuaian dengan pengambilan tenaga daripada makanan.
Dalam pada itu, golongan pemimpin juga menghadapi masalah mendapatkan rehat yang cukup terutamanya masa tidur ideal antara tujuh hingga lapan jam setiap malam.
Menurut Dr. Ahmad Shukri, sistem imuniti badan boleh menjadi lemah jika seseorang tidak mendapat tidur dan rehat secukupnya setelah penat bekerja di siang hari.
“Ini akan mendedahkan diri kepada jangkitan kuman sehingga mudah demam atau selesema di samping peningkatan tekanan darah yang boleh meninggalkan kesan kepada jantung.
“Selain itu, mereka juga mungkin mengalami mental stres kerana otak tidak mendapat rehat secukupnya,” jelas beliau.
Katanya lagi, mental stres yang dihadapi golongan pemimpin mungkin ditambah akibat badan juga tidak cukup rehat, tuntutan tugas untuk menyelesaikan bermacam masalah dan memuaskan hati semua pihak.
Tambahnya, tabiat merokok juga akan meningkatkan lagi risiko yang dibawa faktor-faktor yang dinyatakan tadi dan mengancam kemampuan pemimpin berkhidmat akibat masalah kesihatan diri.
Kesan berpanjangan
Bagi jangka pendek, antara masalah yang utama adalah diabetes tak terkawal akibat pemakanan tidak teratur atau berlebihan.
Mereka yang menghidap diabetes boleh mengalami masalah kandungan gula di dalam darah terlalu tinggi yang menyebabkan rasa letih, lesu dan banyak membuang air kecil.
Jika tidak mendapatkan rawatan segera, keadaan ini boleh menyebabkan mereka koma.
Dr. Ahmad Shukri turut mengaitkan pemakanan dengan masalah sakit jantung dan strok yang bermula hanya dengan peningkatan tekanan darah.
“Mereka yang tidak mengambil ubat atau tidak cukup bekalan ubat untuk masalah darah tinggi turut menghadapi risiko sakit jantung dan strok.
“Pemakanan juga boleh menyebabkan penyakit gout akut di samping gastritis kerana tidak menjaga waktu makan akibat terlalu sibuk bekerja,” katanya.
Dari segi jangka panjang pula, Dr. Ahmad Shukri menekankan ancaman kencing manis terhadap mata, jantung, buah pinggang dan urat saraf.
Langkah kanan
Perkara pertama dalam menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan diri adalah mengetahui keadaan semasa kesihatan diri.
Dengan mengetahui keadaan semasa badan, lebih mudah untuk merancang keperluan untuk meningkat dan mengekalkan kesihatan badan pada tahap terbaik.
Dr. Ahmad Shukri menegaskan, perlunya semua individu, termasuk golongan pemimpin, mendapatkan pemeriksaan kesihatan, tidak kira betapa sibuk mereka dengan tugas masing- masing.
“Alasan sibuk tidak boleh diterima lagi jika melibatkan tahap kesihatan badan memandangkan prestasi kerja terbaik hanya boleh dicapai dengan badan yang sihat.
“Jika badan mula sakit, prestasi kerja pasti terjejas dan keadaan akan bertambah teruk jika mereka terus memaksa diri menjalankan tugas,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kesihatan golongan pemimpin amat penting kerana jika mereka jatuh sakit, bukan sahaja diri dan keluarga yang terjejas malahan rakyat yang bergantung kepada mereka juga akan menderita.
Pemeriksaan kesihatan penuh elok dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan tahap kesihatan semasa badan.
Bagi mereka yang telah disahkan menghidap penyakit tertentu seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan diabetes pula, pemeriksaan berkala sekali setiap tiga atau empat bulan, atau mengikut arahan doktor perlu dijalankan.
Ini dapat membantu doktor memantau keadaan kesihatan diri pesakit di samping memastikan rawatan paling sesuai mengikut keperluan semasa penyakit yang dihadapi.
Dr. Ahmad Shukri juga menasihatkan pemilihan makanan yang bersesuaian jika menghadiri majlis tertentu bagi mengelakkan peningkatan mendadak paras gula di dalam darah.
“Elakkan mengambil air manis bersama nasi dan buah dalam satu hidangan dan rancang pengambilan gula serta lemak yang rendah jika perlu menghadiri beberapa majlis dalam masa satu hari.
Terbaik
“Air kosong atau air mineral adalah terbaik ketika mengambil makanan berat di samping pengambilan sayur-sayuran yang lebih banyak akan membantu menjaga kesihatan badan,” jelasnya.
Dr. Ahmad Shukri juga membangkitkan peranan pasangan hidup golongan pemimpin untuk menjaga pemakanan ketika di rumah.
“Rumah merupakan tempat paling sesuai untuk menjaga pemakanan dengan mengurangkan gula dan lemak dalam masakan.
“Membuat hidangan yang ringkas bukannya menunjukkan tanda tidak sayang tetapi sebaliknya menampilkan keprihatinan untuk menjaga kesihatan orang tersayang,” katanya.
Beliau mencadangkan masakan jenis stim atau panggang bersama lebih banyak sayur-sayuran untuk mengimbangi pemakanan yang banyak mengandungi lemak dan gula ketika bertugas di luar.
Selain menjaga pemakanan, rehat secukupnya juga amat diperlukan bagi membolehkan badan dan otak berfungsi pada tahap optimum setiap hari.
Memandangkan tuntutan masa ketika bertugas menyukarkan golongan pemimpin tidur secukupnya pada waktu malam, perlu diusahakan satu masa untuk mereka merehatkan diri seketika pada waktu siang.
Jika boleh, ‘curi’ sedikit masa untuk berehat atau tidur seketika bila ada kelapangan terutamanya jika sudah terlalu letih.
Rokok pula adalah musuh utama kesihatan badan dan seelok-eloknya dihindarkan kerana rasa segar seketika dari merokok tidak sepadan dengan kerosakan yang dilakukan asap rokok kepada struktur dalaman badan.
Suplemen juga boleh diambil untuk menambah tenaga badan tetapi perlu mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu bagi memastikan suplemen berkenaan tidak memburukkan lagi masalah kesihatan yang dihadapi.
Pilih hanya suplemen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dan jangan diambil secara berlebihan kerana terdapat bahan aktif di dalam suplemen yang mungkin memberi kesan kepada penyakit tertentu.
Semua orang boleh jatuh sakit tetapi gaya hidup golongan pemimpin yang menuntut komitmen tinggi memerlukan mereka lebih berjaga-jaga.
Dr. Ahmad Shukri menasihatkan mereka yang menghidap penyakit tertentu supaya memastikan mempunyai bekalan ubat yang mencukupi. “Dapatkan bekalan ubat sebelum ia habis dan jangan ditunggu sehingga sudah habis sepenuhnya.
“Hospital kerajaan di Malaysia kini mempunyai banyak kemudahan peralatan, kepakaran dan ubatan yang diperlukan untuk memeriksa dan merawat pelbagai jenis penyakit, setanding dengan di luar negara,” tegas beliau.
Menurut Dr. Ahmad Shukri lagi, seorang pemimpin bukan hanya bertanggungjawab menunaikan hak rakyat tetapi juga hak diri sendiri supaya berada dalam keadaan baik dan sihat.
“Biar doktor berusaha menjaga kesihatan pemimpin di ketika mereka berusaha menjaga keperluan rakyat,” ujar beliau.
Komen:
Kesihatan merupakan nadi penting untuk kita terus hidup di dunia ini.kita hendaklah menjaga kesihatan walau apa cara sekalipun.kesihatan yang baik mempunyai tubuh badan yang sihat.
apabila tubuh kita sihat segala aktiviti harian kita baik dan tidak apa-apa masalah.segala gerak geri kita dalam seharian akan bertambah baik.kesihatan yang baik mempunyai akal yang sihat. akal yang sihat dapat berfikir dengan waras.di antara cara-cara untuk kita menjaga kesihatan ialah banyakkan senaman 3 kali seminggu walaupun banyak masa untuk kerja yang lain. kesihatan perlu dijaga walau dimana-mana kita berada.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sebagaimana yang kita ketahui pemimpin merupakan ketua bagi semua aspek kehidupan.baik dalam rumahtangga,negara,sekolah,pejabat dan sebagainya.tanpa pemimpin atau ketua maka organisasi tersebut tidak dapat beroperasi dengan baik malah akan kelam kabut jika tiada siapa yang memimpin.dalam hal ini kesihatan ini pula pemimpin seharusnya memainkan peranan sebagai pemimpin dalam memantau kesihatan panduduk atau rakyat dibawah jagaannya. ini kerana rakyatlah yang memilih pemimpin itu supaya pemimpin itu dapat berbakti kepada rakyat dalam apa jua aspek kehidupan.kesihatan merupakan nadi penting untuk kita hidup didunia ini kerana kalau kita tidak menjaga kesihatan dengan baik segala penyakit akan berada dalam tubuh badan kita.jadi sewajarnya dalam hal yang berkaitan pemimpin kena peka dengan masalah rakyat.tanpa rakyat tiadalah pemimpin.
Post a Comment